EMAS COTEK

Nama Botani

Ficus deltoidea

Nama Lain

Serapat, sempit-sempit dan agoluran (Sabah), tabat barito  (Indonesia), Mistletoe fig (Inggeris)

Famili

Moraceae

Pengenalan

Emas cotek banyak terdapat di Semenanjung Malaysia dan kepulauan Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Ia merupakan sejenis tanaman epifit yang hidup menumpang pada tumbuhan lain yang lebih besar hanya untuk mendapatkan cahaya matahari. Tumbuhan ini banyak terdapat di kawasan belukar di tepi laut atau rimba di pergunungan. Tanaman ini tidak tumbuh di kawasan hutan bakau. Tumbuhan ini boleh tumbuh setinggi 135 cm dan garis pusat kanopi berukuran lebih kurang 157 cm. Bentuk daun adalah berbeza mengikut aksesi iaitu sama ada bulat, bujur telur atau lonjong. Daun yang besar dan bulat di kelasifikasikan sebagai emas cotek betina dan yang lebih kecil dan lonjong sebagai emas cotek jantan. Daunnya berwarna hijau berkilat dan mempunyai bintik yang berwarna emas di permukaannya manakala dibawah permukaan daunnya berwarna kuning keemasan dengan tompok-tompok hitam.

 

Khasiat dan Kegunaan

Emas cotek dipercayai berkhasiat untuk sistem reproduktif  wanita.  Air rebusan keseluruhan tanaman diminum oleh wanita selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan mengembalikan rahim pada keadaan asal. Ia juga digunakan oleh wanita untuk merawat keputihan dan melawaskan haid. Tumbuhan herba ini dipercayai boleh mengekalkan awet muda dan digunakan sebagai ramuan dalam menyediakan tonik untuk lelaki dan perempuan. Selain daripada itu, emas cotek berupaya mencegah dan menyembuhkan penyakit-penyakit seperti paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, cirit-birit, melancarkan peredaran darah dan rawatan sakit kulit.