KUNYIT

Nama Botani

Curcuma domestica (Val.)/Syn: Curcuma longa

Nama Lain

Kha min (Thailand), Manjal (India), Haldi (Hindi), Kurkum (Arab), Turmeric ( tumeric), Indian saffron, yellow ginger (Inggeris)

Famili

Zingiberaceae

Pengenalan

Kunyit merupakan tanaman rempah yang berasal dari India. Tanaman ini kemudian diperkenalkan ke negara Asia lain seperti negara-negara Tenggara dan Selatan Asia. Kunyit hidup subur di kawasan lapang dan terdedah sepenuhnya kepada cahaya matahari. Ketinggian tumbuhan ini melebihi satu meter. Rizom kunyit berwarna kuning, sedikit bersisik, berbentuk memanjang dan berjejari. Daunnya licin, berwarna hijau, berbentuk bujur dan meruncing di hujung serta mempunyai  tangkai yang panjang. Pokok ini mengeluarkan bunga yang berwarna kuning di celah-celah daun muda.

Khasiat dan Kegunaan

Daun kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma dan warna kuning kepada masakan seperti rendang, gulai dan sebagai pembalut ikan atau daging yang di bakar. Dalam perubatan, ia digunakan sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser. Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka di dalam badan, mengecutkan peranakan bagi wanita yang baru bersalin, membersihkan dan menghalang pembekuan darah, melancarkan peredaran darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selesema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, seliuh anggota dan kudis.