ARNAB

Picture
Arnab atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Rabbit merupakan sejenis mamalia kecil yang comel. Nama saintifik arnab adalah Oryctolagus spp. Arnab adalah benda hidup dari alam haiwan filum kordata dalam kelas mamalia dalam order lagomorpha. Arnab adalah haiwan maun yang makanan utamanya adalah tumbuh-tumbuhan. Perbezaan antara arnab dengan tikus adalah arnab mempunyai gigi pemotong kedua (incisors) dibahagian rahang atas. Struktur tengkorak arnab lebih ringan, mempunyai lubang hidung berbentuk liang memanjang, dan ekor yang kontot dan bulat.

Arnab sering diburu oleh haiwan pemangsa atau maging, oleh itu arnab mempunyai kelebihan cepat membiak. Sebagai haiwan mamalia, arnab berdarah panas, membiak dengan melahirkan anak. Arnab menjaga dan menyusukan anak.

Arnab mempunyai telinga yang panjang yang bertindak sebagai penyisih haba, dan juga deria pendengaran yang kuat untuk membantu arnab mengesan musuh. Selain itu, untuk melarikan diri daripada haiwan pemangsa, arnab mampu bergerak laju dengan cara melompat. Arnab boleh di dapati di pelbagai kawasan dan iklim, dari kawasan tundra, suhu sederhana, tropika, dan juga di kawasan gurun.

Antara spesies arnab yang terdapat di dunia ini adalah :-

  1. Pika Amerika Utara atau nama Inggerisnya "North American Pika" dari keluarga Ochotonidae, nama sainsnya Ochonotona princeps
  2. Pika Bibir hitam atau nama Inggerisnya "Black-lipped Pika" dari keluarga Ochotonidae, nama sainsnya Ochonotona curzoniae
  3. Arnab Amami atau nama Inggerisnya "Amami rabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Pentalagus furnessi
  4. Arnab Paya atau nama Inggerisnya "Swamp rabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Brachylagus aquaticus
  5. Arnab Ekor Kapas Timur atau nama Inggerisnya "Eastern cottontail" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Brachylagus floridanus
  6. Arnab Pygmy atau nama Inggerisnya "Pygmy rabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Brachylagus idahoensis
  7. Arnab Eropah atau nama Inggerisnya "European rabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Orytolagus cuniculus
  8. Arnab Gunung Berapi atau nama Inggerisnya "Volcano rabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Romerolagus diazi
  9. Arnab Perang atau nama Inggerisnya "Brown rabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Lepus europaeus
  10. Arnab Artik atau nama Inggerisnya "Arctic hare" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Lepus arcticus
  11. Arnab Gunung atau nama Inggerisnya "Mountain hare" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Lepus timidus
  12. Arnab Jack Ekor Hitam atau nama Inggerisnya "Black-tailed Jackrabbit" dari keluarga Leporidae, nama sainsnya Lepus californicus

GAJAH

Picture
Gajah merupakan haiwan daratan terbesar di dunia. Terdapat 2 spesies gajah di dunia.

  1. Gajah Asia
  2. Gajah Afrika
  3. Gajah Kerdil Malaysia
Gajah Afrika merupakan haiwan daratan terbesar di dunia. Sepanjang 55 juta tahun terdapat 500 spesies gajah yang dikenalpasti dan hanya dua spesies yang masih kekal iaitu Gajah Asia dan Gajah Afrika. Spesies Gajah Asia dan Gajah Afrika mula berpecah kira-kira dua juta tahun dahulu. Dari jurai keturunan spesies Gajah Asia terhasillah gajah mammoth yang bagaimanapun kini telah pupus.

Gajah Asia berbeza daripada Gajah Afrika dari segi telinganya yang kecil sedikit, mempunyai dahi yang rata, dan dua bonggol di kepalanya merupakan puncak tertinggi gajah, berbanding dengan Gajah Afrika yang mempunyai hanya satu bonggol di atas kepala. Selain itu, hujung belalai Gajah Asia hanya mempunyai 1 bibir, sementara Gajah Afrika mempunyai 2 bibit di hujung belalai. Kedua-dua jantina Gajah Afrika mempunyai gading sementara hanya gajah jantan Asia yang mempunyai gading yang jelas kelihatan.

Gajah juga pernah digunakan dalam perperangan sebagai gajah perang, yang digunakan bagi menyerang musuh.

HARIMAU

Picture
Harimau (Panthera tigris) merupakan spesies binatang terbesar di kalangan empat jenis "kucing besar" dalam genus Panthera, dan anggota famili Felidae.[4] Harimau yang berasal dari Asia timur dan selatan ini ialah sejenis haiwan pemangsa dan maging. Subspesies harimau yang lebih besar boleh mencecah panjang 3.3 meter (11 ka) dan berat 300 kilogram (660 paun).[5][6] Selain kebesaran dan kegagahannya, ciri-ciri terpenting yang dimiliki harimau ialah corak belang menegak berwarna gelap yang melapisi bulunya yang berwarna keputihan atau merah kejinggaan.

Harimau yang mempunyai ciri amat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, terdapat dari kawasan taiga Siberia, ke padang rumput terbuka, ke paya bakau tropika, antara lainnya. Harimau ialah haiwan yang biasanya gemar bersendiri dan berkelakuan kewilayahan, dan sering memerlukan kawasan habitat yang amat luas untuk menampung keperluan memburu mangsanya. Dan kerana mudah didapati di sebilangan kawasan di dunia yang paling padat kependudukan manusianya, menyebabkan sering terjadinya konflik antara harimau dan manusia. Tiga daripada sembilan subspesies harimau moden sudah diisytiharkan pupus dan enam yang selebihnya digolongkan sebagai terancam. Punca-punca utama harimau terancam ialah kemusnahan dan fragmentasi habitat, dan juga kegiatan memburu. Harimau yang pernah menduduki kawasan-kawasan seluas Mesopotamia dan Caucasus hingga Asia Selatan dan Timur, kini semakin berkurangan bilangannya. Walaupun semua spesies yang masih ada diberi perlindungan undang-undang, namun pemburuan, kemusnahan habitat dan kemurungan pembiakbakaan dalam tetap menjadi ancaman.

Walau apapun, harimau tetap menjadi salah sejenis megafauna berkarisma yang paling terkenal di dunia. Harimau banyak memainkan peranan penting dalam mitos dan budaya rakyat, di samping masih mendapat tempat dalam bidang perfileman dan kesusasteraan moden. Lukisan harimau sering dijumpai pada bendera dan jata negara, sebagai maskot sukan, dan haiwan kebangsaan sebilangan negara Asia, termasuk Malaysia.

ORANG UTAN

Picture
Orang Utan tidak berekor dan mempunyai telinga dan hidung yang kecil. Bulunya panjang, lembut dan berwarna keperangan. Bulu keningnya tidak begitu mudah dilihat manakala tulang mulut dan dagunya menonjol keluar. Kepalanya pula berbentuk bujur dan matanya bersaiz kecil. Orang Hutan mempunyai lengan yang panjang dan kuat. Bagi Orang Utan jantan, purata ukuran panjang kepala dan badan adalah lebih kurang 96cm (38.4 inci) ketinggian 137cm (54.8 inci) dan berat 75kg (165 lbs). Purata ketinggian Orang Utan betina adalah 80 - 85% daripada Orang Hutan jantan dan beratnya adalah 50% lebih ringan.

Orang Utan hidup dengan memakan buah-buahan, terutamanya buah pokok ara serta daun-daun, kulit kayu, pucuk dan bunga. Orang Utan sentiasa hidup di atas pokok dan jarang turun ke tanah. Orang Hutan hidup bersendirian di mana hanya ibu dan anak saja yang mempunyai hubungan yang kekal. Orang Utan jantan hidup bersendirian dan hanya akan berduaan dengan Orang Utan betina pada musim mengawan. Pergaduhan jarang berlaku di antara Orang Utan jantan dan mereka jarang memonopoli kawasan kawalan. Jangka masa mengandung adalah dari 233-263 hari dan anaknya akan disusu selama beberapa tahun.

Orang Utan boleh di dapati di Borneo dan Sumatra dan tinggal di kawasan hutan tropika.

Punca kepupusan orang utan ialah :

  1. Ladang-ladang kelapa sawit
  2. Pembalakan
  3. Perburuan haram
  4. Perdagangan binatang kesayangan.
23 September 2005 Laporan bertajuk "Oil for Ape Scandal oleh Pertubuhan Friends of the Earth mendedahkan :

  1. Tanpa campur tangan segera, perdagangan kelapa sawit boleh menyebabkan pupusnya spesies Orang Utan dalam masa 12 tahun.
  2. Hampir 90 peratus habitat Orang Utan di Indonesia dan Malaysia telah musnah.
  3. Beberapa orang pakar menganggarkan bahawa 5,000 Orang Utan pupus setiap tahun, kesan daripada keadaan itu.
  4. Terdapat kurang daripada 60,000 Orang Utan yang hidup secara liar di Borneo dan Sumatera.
  5. Pusat penyelamat Orang Utan di Indonesia "padat dengan bayi Orang Utan yang yatim piatu" yang diselamatkan dari hutan-hutan yang ditebangkan untuk perladangan kelapa sawit.
  6. Kerajaan Indonesia bercadang untuk mewujudkan sebuah ladang kelapa sawit terbesar dunia di Borneo, iaitu di sepanjang sempadan dengan Malaysia, yang akan merentasi kawasan perlindungan orang utan.
  7. Menggesa kerajaan Indonesia dan Malaysia menerima dan melaksanakan Deklarasi Kinshasa yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 10 September 2005 dan menamatkan penukaran kawasan habitat Orang Utan kepada ladang-ladang kelapa sawit. Kerajaan Indonesia telah menandatangani perjanjian itu tetapi kerajaan Malaysia belum menandatanganinya.


RUSA SAMBAR

Picture
Rusa Sambar merupakan salah satu haiwan mamalia yang terdapat di Malaysia. Nama sainsnya Cervus unicolor.

Terdapat 6 sub-spesis yang berbeza dari segi saiz dan warna. Bulunya parau dan panjang. Hanya rusa jantan mempunyai tanduk yang biasanya ada tiga cabang pada kedua-dua belah dan boleh mencapai panjang 1 meter (3.3 kaki). Panjang dari kepala ke hujung badan adalah dari 1.7-2.7 meter (5.7-9 kaki); beratnya 150-315 kilogram (340-710 paun).

Makanan utama Rusa Sambar adalah rumput, pokok renek, daun, dan buah-buahan pokok hutan. Rusa Sambar sukar ditemui walaupun di tempat ia berkeliaran. Rusa Sambar akan terus melarikan diri apabila terdengar apa-apa bunyi sahaja. Jika diserang oleh harimau, harimau bintang atau anjing liar, Rusa Sambar akan terus terjun ke sungai dan berenang melarikan diri.

Rusa Sambar hidup bersendirian kecuali di musim mengawan. Pada musim mengawan, rusa jantan akan mengumpul sekumpulan rusa betina jagaannya dan mempertahankan kumpulannya dari sebarang lawan (rusa jantan lain). Di tengah dan Selatan India, rusa betina melahirkan anak pada bulan Mei dan awal bulan Jun tetapi pembiakan boleh berlaku pada bulan lain di kawasan India yang lain. Selepas 8 bulan bunting, satu (jarang dua) anak rusa akan dilahirkan dan disusu selama beberapa bulan.

Rusa Sambar terdapat di India, Indonesia, Asia Tenggara. Rusa Sambar tinggal di hutan Tropika Panas dan Hutan Sub-tropika, sehingga ketinggian 10,000 kaki.

SELADANG

Picture
Seladang (Bos gaurus, dahulu Bibos gauris) ialah sejenis haiwan bovin yang besar dan berbulu warna gelap di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Bilangannya yang terbesar pada hari ini adalah di India. Seladang ialah spesies lembu liar yang terbesar dan adalah lebih besar daripada Kerbau Tanjung, Kerbau Air Liar Asia, dan bison. Dalam konteks pelancongan safari, ia dikenali sebagai bison India, akan tetapi istilah ini tidak tepat daripada segi teknikal. Bentuk bela jinak Seladang dikenali sebagai gayal atau mithun.

Seladang dapat dikenal pasti menerusi rabung cembungnya yang tinggi pada dahi di antara tanduknya yang melentur dengan tetap ke depan. Ini menyebabkan lekuk pada tampang bahagian atas kepalanya. Hujung tanduk melentur ke dalam dan sedikit ke belakang, manakala kaki tanduk sangat leper. Telinga Seladang amat besar, tetapi ekornya hanya sampai ke pergelangan kaki belakang. Tidak terdapat gelambir yang jelas pada leher dan dadanya. Rabung di bahagian belakang sangat ketara.

Seladang jantan dewasa berwarna antara perang gelap sehingga hampir hitam bagi Seladang yang amat tua. Bagaimanapun, bahagian atas kepala dari atas mata sehingga tengkuk berwarna kelabu atau kekadangnya putih kotor. Muncung Seladang jantan berwarna pucat, dengan bahagian bawah kakinya berwarna putih tulen. Bulu jantan yang tua sangat nipis pada bahagian belakangnya.[1] Sebaliknya, warna Seladang betina dan anak lebih pucat dan kekadang mempunyai warna kuning keperang-perangan sedikit yang paling ketara bagi Seladang yang hidup di daerah kering dan terbuka. Tanduk Seladang berwarna hijau pucat atau kuning hampir pada sepanjangnya tetapi hujung tanduk berwarna hitam.[1]

Ciri-Ciri

Seladang tergolong dalam golongan benda hidup, alam : haiwan, filum : kordata, sub-filum :bertulang belakang (vertebrata), kelas : mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu, dan menjaga anak) Aturan : Artiodactyla, Keluarga : Bovidae.

Seladang tergolong dalam keluarga yang sama dengan Lembu, Banteng dan Kambing Gurun. Seladang jantan yang matang boleh membesar dan mencapai ketinggian 2 meter (6 kaki) dan berat sehingga 900 kilogram. Jangka masa bunting/ mengandung adalah 9 bulan dan biasanya seekor anak dilahirkan. Anaknya mencapai tempoh matang dalam masa 3 tahun dan ia boleh hidup selama 25 tahun.

Seladang hidup di dalam kumpulan 4-8 ekor yang boleh mencapai sehingga 30 ekor. Kumpulan ini diketuai oleh seladang jantan yang berkuasa. Seladang lebih aktif ketika subuh dan senja serta berehat daripada pancaran terik matahari di bawah pokok sepanjang hari. Seladang adalah haiwan maun dan makanan utama Seladang adalah tumbuhan, terutamanya rumput-rumpai. Seladang mudah ditemui di kawasan di mana rumput, pokok herba, pokok renek dan daun-daun mudah diperolehi.

Seladang biasanya didapati di Hutan Tropika dan Tanah Berhutan.

TENUK

Picture
Tenuk merupakan sejenis haiwan mamalia. Juga dikenali sebagai Badak Cipan, Badak Tampung. Terdapat empat jenis tenuk, yang mempunyai kaitan rapat, dikenal pasti pada hari ini seperti berikut :-

  1. Tenuk Malaysia (Tapirus indicus) - Terdapat di Asia Tenggara dan Malaysia.
  2. Tenuk Baird (Tapirus bairdii) - Terdapat di Mexico dan Amerika Tengah.
  3. Tenuk Gunung (Tapirus pinchaque) - Terdapat di hutan tanah tinggi dan paramos di utara Andes di Colombia dan Ecuador.
  4. Tenuk Brazil (Tapirus terrestris) - Terdapat di kawasan hutan Amerika Selatan.

PAUS

Picture
Ikan paus hidup di lautan tetapi tidak tergolong dalam keluarga ikan. Ikan paus adalah mamalia dalam kelompok cetacea. Sebagaimana haiwan mamalia yang lain, ikan paus mempunyai ciri-ciri berikut:

  • bernafas melalui paru-paru
  • mempunyai bulu (kurang berbanding haiwan darat, hampir tiada bagi paus dewasa)
  • berdarah panas
  • mempunyai organ penyusuan dan menyusukan anak.
  • mempunyai empat ruang jantung
Ikan paus purba berevolusi pada pertengahan tempoh Eocene, kira-kira 50 juta tahun dahulu. Salah satu ikan paus terawal yang telah pupus adalah Basilosaurus yang mempunyai kepala kecil bermuncung menonjol dan bergigi. Basilosaurus sepanjang 25 meter panjang.

Tinggalan fosil menunjukkan paus berasal daripada haiwan daratan berkuku, kemungkinannya dari haiwan seperti Mesonychid (haiwan seperti serigala yang tinggal dipersisiran pantai) yang beransur-ansur kembali tinggal di laut kira-kira 50 juta tahun dahulu. Satu lagi kemungkinan haiwan lain yang berubah menjadi paus, adalah Ambulocetus, mamalia bersaiz anjing laut, sepanjang 3 meter seberat 650 paun.

Pada masa kini, terdapat dua jenis ikan paus iaitu ikan paus Odontoceti paus bergigi, dan paus Baleen, Mysticeti. Paus Odontoceti yang bergigi merupakan pemangsa yang memakan ikan, sotong, dan mamalia marin (laut), mempunyai satu lubang pancut pernafasan. Paus baleen pula bersaiz lebih besar daripada paus bergigi dan mempunyai struktur yang dikenali sebagai baleen yang berbentuk sikat, untuk menyaring plankton daripada air, dan mempunyai dua lubang pancut pernafasan.

Tingkahlaku

Ikan paus secara amnya dikelaskan sebagai pemangsa tetapi makanan haiwan ini terdiri daripada plankton kepada ikan besar. Sebagai mamalia, ikan paus memerlukan udara untuk bernafas dan mesti naik ke atas permukaan air untuk mendapat oksigen. Ini dilakukan melalui lubang pancutan pernafasan.

Kerana habitatnya, ikan paus menetapkan bila ia mahu bernafas. Kesemua mamalia tidur termasuk ikan paus, tetapi ikan paus tidak boleh dalam keadaan tidak sedar atau tidur terlalu lama. Ini kerana mereka perlu sedar untuk bernafas. Dipercayai hanya satu hemisfera dalam otak ikan paus tidur pada satu masa supaya ikan paus tidak tidur sepenuhnya tetapi masih boleh berehat.

Ikan paus berkomunikasi sesama sendiri melalui bunyi berirama yang dipanggil nyanyian ikan paus. Kerana haiwan ini sangat besar dan kuat, bunyi yang dihasilkan sangat kuat (bergantung kepada spesis). Ikan paus dipercayai membuat 20,000 wat akustik bunyi pada 163 desibel.

Ikan paus betina melahirkan seekor anak. Masa menyusu adalah lama (lebih dari satu tahun dalam kebanyakan spesis), dan ini dikaitkan dengan hubungan yang erat antara ibu dan anak. Dalam kebanyakan ikan paus, proses pendewasaan berlaku lewat, selalunya dalam tujuh hingga 10 tahun. Disebabkan ini mereka melahirkan sedikit zuriat tetapi mempunyai keberangkalian yang tinggi untuk hidup dalam dunia haiwan liar.

Alat kelamin ikan paus jantan dimasukkan ke dalam rongga badan ketika berenang untuk penyelarasan dan mengurangkan seretan air. Kebanyakan ikan paus tidak mempunyai pasangan tetap; dalam kebanyakan spesis paus betina mempunyai banyak pasangan pada setiap musim mengawan. Ketika saat kelahiran, bayi paus mengeluarkan ekor dahulu untuk meminimumkan risiko lemas. Ikan paus menyusukan anak dengan memancutkan susu secara konsisten seperti ubat gigi ke dalam mulut bayi untuk mengelak daripada susu tersebut hilang dalam air.