MENGKUDU

Nama Botani

Morinda citrifolia Linn.

Nama lain

Noni, Indian mulberry, Painkiller (Inggeris),  Pace, Cangkudu (Indonesia), Yo ban (Thai), Nhau (Vietnameses) 

Famili

Rubiaceae

Pengenalan

Mengkudu ialah tanaman bersifat saka berasal dari Asia, Australia dan kepulauan Pasifik. Ia telah hidup secara liar berabad-abad lamanya di negara kita dan kurang mendapat perhatian semasa itu. Kebanyakannya terdapat dikawasan pinggir hutan dan berdekatan dengan perparitan dan sungai. Tanaman ini mempunyai batang pokok yang lurus, berdaun lebar, bunga berwarna putih, buah berbentuk bujur dan bertukar dari hijau ke putih kekuningan apabila matang. Buah yang masak mempunyai bau yang kurang menyenangkan.  Ketinggian pokok boleh mencapai lebih kurang 10 m. Dua spesies tanaman mengkudu yang biasa terdapat di negara ini ialah Morinda citrifolia (mengkudu besar atau mengkudu laut) dan Morinda elliptica (mengkudu kecil atau mengkudu hutan). Terdapat variasi yang ketara dari segi saiz dan bentuk buah.

Khasiat dan Kegunaan

Mengkudu mempunyai pelbagai kegunaan. Ia telah digunakan sejak turun-temurun dalam perubatan tradisional terutama di kalangan masyarakat Melayu. ‘Penemuan semula’ dan minat masyarakat umum  terhadap tanaman ‘ajaib’ ini bermula pada penghujung 1998 selepas penemuan saintifik tentang bahan aktif serta fungsinya oleh seorang ahli biokimia dari Universiti Hawaii. Satu bancian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 22 jenis masalah kesihatan telah dapat dibantu dengan pengambilan mengkudu. Antaranya ialah kanser, kencing manis, darah tinggi, tulang, jantung, kemurungan, pernafasan, penghadaman dan buah pinggang. Mengkudu juga boleh dibangunkan ke produk kumpulan makanan seperti makanan kesihatan/tambahan, tonik, minuman dan perubatan tradisional dan barangan bukan makanan seperti kosmetik, penjagaan/kesihatan diri dan  biopesticid.