ROSEL

Nama Botani

Hibiscus sabdariffa L

Nama Lain

Asam paya, asam susur, asam kundang, roselle (Inggeris), sorrel

Famili

Malvaceae

Pengenalan

Rosel banyak terdapat di kawasan yang beriklim tropika dan subtropika seperti di Afrika, India dan Asia termasuk Malaysia. Kini terdapat lebih dari 300 spesies tanaman rosel di seluruh dunia. Pokok ini boleh mencapai ketinggian lebih kurang 2 m dengan dahannya yang tumbuh menegak di peringkat awal dan melentur rebah apabila banyak buah. Batang, dahan serta tangkainya berwarna merah. Daunnya pula berwarna hijau dan berbentuk tapak tangan dengan tiga cuping yang meruncing ke hujung. Bunga rosel keluar di setiap sendi daun, berwarna kuning muda dan merah jambu manakala lengainya berwarna merah gelap dan berbentuk bujur.

Khasiat dan Kegunaan

Kaliks atau kelopak buah rosel yang berwarna merah kaya dengan vitamin A dan C serta zat mineral. Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda. Kaliksnya boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan. Pemprosesan biji rosel boleh dijadikan bahan kosmetik sementara kulitnya pula boleh dibuat tali.