SENNA MEKAH

Nama Botani

Cassia angustifolia Vahl

Nama Lain

Mecca senna, Tinnevelly senna (Inggeris), Nilavarai, Nelavakai (India), Makham khaek (Thai), Fan xia ye (China)

Famili

Leguminosae

Pengenalan

Senna mekah adalah sejenis tanaman semusim yang renek berasal dari negeri Yemen di selatan Arab. Kini ia ditanam secara komersial di India, Pakistan dan China. Ia sesuai ditanam di tanah lom berpasir dan aluvium berlom. Tanaman ini mempunyai batang berkayu lurus, bercabang dan berwarna hijau pucat. Ketinggiannya boleh mencapai 60- 100 cm. Daunnya berpasangan dan setiap tangkai mempunyai beberapa pasang daun. Kudup sena mekah akan keluar setelah 40 hari penanaman dan berkembang sepenuhnya selepas 65 hari. Bunganya berwarna kuning serta buahnya berbentuk pipih dan lembut. Buahnya ini berwarna perang kehijauan ketika muda dan perang gelap setelah matang.

Khasiat dan Kegunaan

Herba ini berupaya merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, sembelit, cacing, anemia, deman panas, taun, bronkitis, batuk, gout, reumatisme dan penyakit kuning, Kini ia dipercayai dapat merawat jerawat dan kurap serta menghilangkan sembelit.