TONGKAT ALI

Nama Botani

Eurycoma longifolia Jack

Nama lain

Penawar pahit, bedara pahit, bedara  putih, bedara merah, hempedu pahit, payung Ali, tongkat baginda, muntah bumi, petala bumi, akar jangat  semang, tongkat rasul, setunjang bumi dan pasak bumi.

Famili

Simaroubaceae

Pengenalan

Tongkat ali adalah dari keluarga Simaroubaceae didapati tumbuh di hutan malar hijau di Asia Tenggara. Di Malaysia tongkat ali digunakan secara meluas dalam penyediaan ubatan tradisional dan dijual dalam bentuk kapsul, tablet serta tonik. Lebih kurang 30 produk ubatan tradisional di negara ini mengandungi tongkat ali sama ada secara tulen atau campuran dengan herba yang lain. Persediaan produk daripada tongkat ali meliputi 30% daripada nilai perdagangan herba tempatan yang bernilai RM30–40 juta. Tongkat Ali merupakan tanaman jenis saka yang tumbuh menegak tanpa cabang. Dalam keadaan semula jadinya di hutan, ia tumbuh dengan kadar yang perlahan, boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m dengan garis pusat batang berukuran 20 cm. Daunnya berbentuk bujur (2–3 cm lebar, 8–10 cm panjang) tersusun secara berpasangan pada satu tangkai (panjang hingga 100 cm). Terdapat  20–30 pasang anak daun bagi setiap tangkai daun. Tangkai daun tersusun secara “spiral”, sama ada mengikut  pusingan jam  atau melawan  pusingan  pada paksi batang.

Khasiat dan Kegunaan

Tongkat ali terkenal kerana mempunyai kesan penggalak seks (‘aphrodisiac’). Secara tradisi ia digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan. Antaranya, termasuk pening kepala, luka-luka, kurap, disentri, bengkak, kelenjar, antileukemik, antitumor, antiviral, antifidan, insektisidal, antiamebik, antimalaria dan antiradang.Kandungan kimia tongkat ali yang penting dalam industri ialah; eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak terdapat dalam akar. Maklumat lebih terperinci mengenai hal ini sedang diselidiki. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosterone (hormon yang diperlukan untuk fungsi kelelakian).